Jumaat, 24 Jun 2022

Dana Projek Mural

 

Puan Lily, Pengerusi Persatuan Alumni Sekolah Kebangsaan Ragkam Tambunan Sabah menyerahkan dana kepada Puan Tracy, Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Ragkam Tambunan Sabah.

Sabtu, 9 April 2022

Sumbangan Kepakaran Sukarelawan Alumni Diperlukan Untuk Menjayakan Sistem Pembelajaran Di SK. Ragkam, Tambunan

Cikgu Thersia Robin, penolong kanan hal ehwal murid SK. Ragkam, Tambunan, Sabah mengalu-alukan penglibatan alumni dalam menjayakan sistem pembelajaran di sekolah.

Dalam majlis yang ringkas itu, penolong kanan hal ehwal murid menyampaikan ucapan penghargaan daripada Guru Besar kepada rombongan yang mewakili seluruh ahli alumni dan para penyumbang atas pengorbanan dari segi tenaga, masa dan wang ringgit untuk memberi sumbangan kepada pelajar sekolah.

Cikgu Thersia turut berharap agar ahli alumni dapat menyumbangkan sedikit sebanyak kepakaran mereka ke sekolah dalam apa jua cara pada masa akan datang. 

“Kami mengetahui bahawa alumni terdiri daripada pelbagai latar belakang kepakaran dan pendidikan. Sehubungan itu, kami mengalu-alukan kerjasama dan memerlukan sumber kekuatan Alumni untuk membangunkan sekolah, bukan sahaja dari segi sumber kewangan tetapi cadangan serta idea-idea bernas,” katanya.

Encik Francis Labi selaku setiausaha Persatuan Alumni Sekolah Kebangsaan Ragkam Tambunan, Sabah menjelaskan ahli persatuan kembali terlibat dengan sekolah walaupun lama meninggalkan sekolah adalah sebagai satu tindakan membalas budi terhadap kejayaan sekolah yang menjadikan mereka individu yang boleh berdikari pada hari ini.

“Dahulu, kami juga pernah merasa sukar dan kami bersyukur kerana masyarakat di sekitar sekolah dan kampung kami sentiasa menghulurkan bantuan apabila diperlukan. Justeru itu, apabila kami mengetahui bahawa pelajar di SK. Ragkam, Tambunan menghadapi kesulitan untuk mendapatkan pelitup muka, kami di pihak alumni segera membuka tabung pelitup muka. Tabung ini berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM780.00 iaitu melebihi sasaran awal kami iaitu RM500.00.”

“Walaupun mungkin sumbangan ini kelihatan kecil sahaja tetapi ia diharap memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyokong usaha alumni. Menggerakkan aktiviti persatuan  memerlukan semangat kesukarelawanan yang tinggi dan kami di alumni berharap agar lebih ramai yang menyertai sebagai ahli, bak kata pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,”  jelas beliau.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Encik Dunstan Sabinus, Timbalan yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Ragkam Tambunan.

Encik Francis Labi menyerahkan cenderahati simbolik penyerahan 10,000 pelitup muka kepada Cikgu Thersia Robin,  Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SK. Ragkam, Tambunan.
Encik Francis Labi menyerahkan cenderahati simbolik penyerahan 10,000 pelitup muka kepada Cikgu Thersia Robin,  Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SK. Ragkam, Tambunan.

Peserta rombongan bergambar kenangan bersama pihak pengurusan sekolah di hadapan pintu pagar sekolah.

Ahli alumni berkumpul di Pusat Ekonomi Kuyungon untuk membincangkan aktiviti alumni yang akan datang

Ingatan dan doa daripada para penyumbang 'Dana Pelitup Muka'

Isnin, 4 April 2022

ACARA PENYERAHAN SUMBANGAN PELITUP MUKA UNTUK PELAJAR SK. RAGKAM, TAMBUNAN

Sukacita dimaklumkan bahawa *Program Sumbangan Dana Pelitup Muka Kepada Pelajar SK. Ragkam* telah ditutup.

Program ini telah berjaya mengutip sebanyak RM720.00 dan dijangka dapat membekalkan sebanyak 180 kotak pelitup muka (9,000 keping).

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang.

Acara penyerahan sumbangan  dijangka akan dilaksanakan seperti berikut;

        TARIKH: 09 April 2022 (Sabtu)

        MASA : 2:00 Petang

        TEMPAT: SK. Ragkam, Tambunan

         ATUR CARA:

            2:00 Ptg - Ketibaan ke SK. Ragkam, Tambunan

            2:10 Ptg - Taklimat ringkas/sejarah sekolah oleh wakil sekolah (Bahagian Hal Ehwal Murid)

            2:20 Ptg - Acara Penyerahan Sumbangan (Sesi bergambar depan sekolah)

            2:30 Ptg - Lawatan ke sekitar sekolah (Luar sahaja, untuk mematuhi SOP KPM)

            3:00 Ptg - Lawatan dijangka selesai

                          - (Peserta bergerak ke KEC, Kg. Kuyungon untuk minum petang)

Sesiapa yang berminat untuk menyertai aktiviti ini, adalah dialu-alukan. Sila berhubung dengan EN. FRANCIS melalui whatsapp (016-8023456).

Jumaat, 14 Januari 2022

Program Sumbangan Dana Pelitup Muka Kepada Pelajar SK Ragkam



Persatuan Alumni SK. Ragkam Tambunan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk pengumpulan dana sebanyak RM500.00 bagi membeli sebanyak 6,250 keping (125 kotak) pelitup muka kanak-kanak. Sumbangan saudara dan saudari akan membantu pelajar SK Ragkam dari segi;


✅Mengelakkan memakai pelitup muka terpakai.

✅Mengelakkan memakai pelitup muka orang dewasa.

✅Membantu mereka yang terlupa membawa pelitup muka.


Sumbangan berbentuk tunai atau melalui bank/pindahan bank boleh disalurkan kepada;

📌 Puan Grace @ Gracie Thadius

📌 No Akaun: 6003 4002 0040 491

📌 Nama Bank: Alliance Bank

📌 Rujukan 1: Dana Mask

📌 Rujukan 2: Nama Penyumbang

Resit sumbangan dan sijil penghargaan penyumbang akan dihantar secara digital/whatsapp.

Sebarang pertanyaan bolehlah berhubung dengan setiausaha persatuan di talian/WhatsApp 016-8023456.

Selasa, 6 Disember 2016

Selamat Datang dan Tahniah

Selamat datang dan tahniah!

Anda telah sampai ke sini kerana anda berminat untuk mengetahui dan berminat untuk membantu tempat anda menimba ilmu semasa zaman kanak-kanak.

Tentulah pelbagai kenangan manis dan pahit semasa zaman persekolahan di S. K Ragkam, Tambunan dan semua itu pastinya memberi manafaat besar dalam kehidupan kita ketika ini.

Tanpa S.K. Ragkam yang ditubuhkan sejak 1977, siapalah kita pada hari ini seperti kata pantun-pantun berikut;

Pergi ke ladang mencabut rumput,
Sambil memetik buah jagung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.

Terbang tinggi si burung helang,
Itik di kolam berenang-renangan,
Budi sedikit tidakkan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.

Buruh kasar kerjanya berat,
Baik lagi bertanam keladi,
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tak kenang budi.

Jikalau kita bertanam padi,
Senanglah makan adik-beradik,
Jikalau kita bertanam budi,
Orang yang jahat menjadi baik.

Sarat barait penuh pisang,
Nyaris-nyaris tertungang balik,
Jahat berlaku lagi dikenang,
Inikan pula budi yang baik.

Borang keahlian pertubuhan ini boleh diperolehi dengan menghubungi mana-mana pegawai pertubuhan.

Salam hormat.